Thursday, December 9, 2010

ETIKA PERNIAGAAN DI DALAM ISLAM

Syarat pertamanya, jangan ada sesuatu barang yang hendak dijual itu najis seperti babi, arak atau sebagainya. Ini termasuk makanan yang diperbuat atau dicampur dengan salah satu daripada bahan yang najis walaupun sedikit.

Syarat kedua, barang yang dijual hendaklah bermanfaat kepada pembeli, dan tidak sah dijual seperti semut, kerangka dan sebagainya.

Syarat ketiga, barang yang hendak dijual adalah milik mutlak penjual itu sendiri dan bukannya milik orang lain kecuali sekiranya dia diwakilkan untuk menjualkannya.

Syarat keempat, hendaklah barang itu suatu yang dapat dilihat dengan jelas seperti rupanya, warnanya, jumlahnya dan sebagainya.

Syarat yang kelima, hendaklah pembeli menerima suatu yang hendak dibelinya dengan sempurna.

Syarat-syarat tersebut adalah di antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh agama kita, kerana Islam tidak mahu berlaku penipuan atau penyelewengan daripada penjual terhadap pembeli.
Perbuatan menipu ini sangat-sangat dilarang keras oleh Rasulullah seperti hadisnya yang bermaksud : " Siapa yang menipu kami maka dia bukan dari golongan kami, yakni kita tidak mengaku bahawa orang yang menipu itu dari umatnya "

Selain daripada dosa, darah daging yang terjadi daripada hasil yang haram akan dibakar oleh api neraka. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud : " Mana-mana daging kita yang dari hasil yang haram, maka api neraka lebih utama akan menjilatnya "

Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kemewahan yang kita nikmati melalui hasil perniagaan yang haram itu seperti membeli pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya akan memberi keburukan kepada kita semasa di dunia lagi.

Islam memang menggalakkan umatnya melibatkan diri di dalam bidang perniagaan yang halal. Kerana melalui perniagaan yang halal, hasil yang kita perolehi akan bertambah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud : " 90 % rezeki yang Allah berikan kepada manusia di dunia ini, adalah melalui perniagaan".

Manakala dalam Al-Quranulkarim Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 88 yang bermaksud : " Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepadanya, Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman ".

No comments: